BAB PEREMPUAN JADI IMAM BAGI KAUM PEREMPUAN

 مسند الشافعي

HADITH MUSNAD IMAM SYAFIE
Terjemahan Dan Ringkasan Serta Sedikit Keterangan
بَابُ الْمَرْأَةِ تَؤُمُّ النِّسَاءَ
BAB PEREMPUAN JADI IMAM BAGI KAUM PEREMPUAN

perempuan jadi imam



Telah diriwayatkan daripada ‘Ammar Az-Zuhni :
عَنِ امْرَأَةٍ مِنْ قَوْمِهِ يُقَالُ لَهَا : حُجَيْرَةُ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّهَا أَمَّتْهُنَّ فَقَامَتْ وَسَطًا
Artinya : “Diriwayatkan daripada seorang perempuan daripada kaumnya yang disebut dengan panggilan Hujairah daripada Ummu Salamah r.a. sungguhnya beliau menjadi imam akan mereka itu maka beliau berdiri di tengah.”
KETERANGAN
Hadith yang seumpamanya ada dikeluarkan juga olih Imam Ahmad dan Al-Baihaqi dan lainnya.
PEREMPUAN JADI IMAM
Hadith ini datang pada menerangkan keharusan perempuan menjadi imam solat bagi perempuan dan tempat imam perempuan itu berdiri.
Bermula hukum perempuan menjadi imam solat itu harus dengan syarat jemaah yang mengikut di belakangnya adalah perempuan.
Maka tidak sah perempuan menjadi imam bagi kaum lelaki atau sebahagian dari makmumnya lelaki dan sebahagian lagi perempuan.
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :
يُشْتَرَطُ لإِمَامَةِ الرِّجَال أَنْ يَكُونَ الإْمَامُ ذَكَرًا، فَلاَ تَصِحُّ إِمَامَةُ الْمَرْأَةِ لِلرِّجَال، وَهَذَا مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ بَيْنَ الْفُقَهَاءِ
Artinya : “Disyaratkan bagi makmum lelaki itu hendaklah imamnya lelaki. Maka tiada sah perempuan jadi imam bagi lelaki. Dan ini telah disepakati antara sekelian fuqahak.”
Selain dari hadith Ummu Salamah ini ada dikeluarkan beberapa hadith yang menunjukkan perempuan harus menjadi imam bagi kaum perempuan.
Berkata Imam Syafie r.a. :
رَوَى اللَّيْثُ عَنْ عَطَاءٍ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا صَلَّتْ بِنِسْوَةٍ الْعَصْرَ فَقَامَتْ فِي وَسَطِهِنَّ
Artinya : “Telah meriwayatkan olih Laith (bin Salim) daripada Atha’ daripada Aisyah r.a. sungguhnya beliau telah solat dengan kaum perempuan akan solat asar maka beliau berdiri ditengah kaum perempuan itu.” (Kitab Al-Uum)
Dan diriwayatkan olih Sofwan bin Salim :
مِنْ السُّنَّةِ أَنْ تُصَلِّيَ الْمَرْأَةُ بِالنِّسَاءِ تَقُومُ فِي وَسَطِهِنَّ
Artinya : “Termasuk sunnah itu ialah perempuan menjadi imam akan kaum perempuan berdiri ia ditengah mereka itu.” (Kitab Al-Uum)
Dan berkata Imam Syafie r.a. lagi :
فكان علي بن حسين يأمر جارية له تقوم بأهله في رمضان
Artinya : “Maka adalah Ali bin Husain menyuruh hamba perempuan baginya mejadi imam bagi anak-anaknya pada bulan Ramadhan.”
KEDUDUKAN IMAM PEREMPUAN
Sebagaimana imam lelaki adalah imam perempuan itu jadi imam ia akan kaum perempuan pada solat fardu dan solat sunat dan sekelian saf bagi imam perempuan itu menyamai sekelian saf bagi imam lelaki melainkan imam perempuan itu berdiri ia pada tengah mereka itu tidak sebagaimana imam lelaki yang berdiri di saf hadapan berseorangan.
Berkata Imam Syafie r.a. :
وَتَؤُمُّ الْمَرْأَةُ النِّسَاءَ فِي الْمَكْتُوبَةِ وَغَيْرِهَا وَآمُرُهَا أَنْ تَقُومَ فِي وَسَطِ الصَّفِّ وَإِنْ كَانَ مَعَهَا نِسَاءٌ كَثِيرٌ أَمَرْت أَنْ يَقُومَ الصَّفُّ الثَّانِي خَلْفَ صَفِّهَا وَكَذَلِكَ الصُّفُوفُ وَتَصُفُّهُنَّ صُفُوفَ الرِّجَالِ إذَا كَثُرْنَ لَا يُخَالِفْنَ الرِّجَالَ فِي شَيْءٍ مِنْ صُفُوفِهِنَّ إلَّا أَنْ تَقُومَ الْمَرْأَةُ وَسَطًا
Artinya : “Dan orang perempuan itu bolih jadi imam pada solat fardu dan solat lainnya. Dan aku menyuruhnya bahawa berdiri ia di tengah saf. Dan jika ramai jemaah perempuan maka aku perintahkan bahawa berdiri saf yang kedua di belakang saf yang ada imam. Dan seperti demikianlah segala saf perempuan itu menyamai dengan segala aturan saf lelaki tidak ada yang bersalahan apabila ramai jemaah perempuan itu melainkan hanyalah imam perempuan itu berdiri ia di tengah saf.” (Kitab Al-Uum)
Berkata Imam As-Syairazi :
السُّنَّةُ أَنْ تَقِفَ إمَامَةُ النِّسَاءِ وَسْطَهُنَّ لِمَا رُوِيَ أَنَّ عَائِشَةَ وَأُمَّ سَلَمَةَ أَمَّتَا نِسَاءً فَقَامَتَا وَسْطَهُنَّ
Artinya : “Bermula sunnah itu ialah berdiri imam perempuan di tengah saf perempuan kerana hadith riwayat Aisyah r.a. dan Ummu Salamah r.a. adalah keduanya menjadi imam bagi kaum perempuan dan berdiri keduanya di tengah mereka itu.” (Kitab Al-Muhazzab)
Dan adalah sebab imam perempuan disunatkan berdiri di tengah saf bukan di hadapan saf seperti imam lelaki ialah kerana berdiri di tengah saf lebih menutup bagi dirinya.
Menyebut olih Dr Wahbah Az-Zuhaili :
ويتقدم الإمام إلا إمام العراة، فيقف وجوباً وسطهم عند الحنابلة وندباً عند غيرهم، وإلا إمامة النساء فيستحب للمرأة أن تقف وسطهن، لما روي عن عائشة، ورواه سعيد بن منصور عن أم سلمة أنهما أمتا نساء وسطهن ولأنه يستحب لها التستر، وهذا أستر للمرأة الإمام
Artinya : “Dan hendaklah imam berdiri di hadapan melainkan imam perempuan maka wajib di sisi ulamak mazhab Hanbali dia berdiri di tengah saf perempuan dan sunat hukumnya di sisi ulamak selain Hanbali imam berdiri di tengah saf mereka itu kerana hadith riwayat Aisyah r.a. dan hadith yang meriwayatkan olih Said bin Mansur dari Ummu Salamah r.a. adalah beliau jadi imam dan berdiri di tengah saf kaum perempuan dan kerana sungguhnya disunatkan bagi perempuan itu menutup diri dan cara ini lebih menutup bagi perempuan yang jadi imam.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
Dan berkata Ad-Damiri :
وتقف إمامتهن وسطهن لأن عائشة وأم سلمة رضي الله عنهما أمتا نسوة ووقفتا وسطهن، رواه الشافعي والبيهقي ولأن ذلك أستر لها
Artinya : “Dan berdiri imam perempuan di tengah saf perempuan kerana sungguhnya Aisyah r.a. dan Ummu Salamah r.a. keduanya jadi imam bagi kaum perempuan dan keduanya berdiri di tengah saf mereka itu sebagaimana telah meriwayatkannya olih Imam Syafie dan Al-Baihaqi dan kerana sungguhnya yang demikian itu lebih menutup baginya.” (Kitab An-Najm Al-Wahhaj)
Yang dimaksudkan berdiri imam perempuan ditengah saf itu ialah ke hadapan sedikit tumit imam dari tempat makmum berdiri bukannya bermaksud sebaris dengan tumit makmum.
Berkata Syeikh Sulaiman Al-Jamal :
(قَوْلُهُ وَسْطَهُنَّ) الْمُرَادُ أَنْ لَا يَتَقَدَّمَ عَلَيْهِنَّ، وَلَيْسَ الْمُرَادُ اسْتِوَاءُ مَنْ عَلَى يَمِينِهَا وَيَسَارِهَا فِي الْعَدَدِ.
وَعِبَارَةُ الشَّوْبَرِيِّ قَوْلُهُ وَسْطَهُنَّ أَيْ مَعَ تَقَدُّمٍ يَسِيرٍ بِحَيْثُ يَمْتَازُ عَنْهُنَّ
Artinya : “Bermula katanya berdiri imam di tengah saf perempuan itu yakni tidaklah terkehadapan imam itu atas mereka itu. Dan bukanlah maksudnya bersamaan dengan orang yang pada kanan dan kirinya pada bilangan.
Dan ibarat Syeikh As-Syaubari pula pada katanya berdiri di tengah itu ialah serta ke hadapan sedikit (kakinya) sekira-kira terbeza imam dari sekelian makmum.” (Kitab Hasyiah Al-Jamal)
Berkata Syeikh As-Syarwani :
وَفِي سم عَلَى الْمَنْهَجِ قَرَّرَ م ر أَنَّهَا تَتَقَدَّمُ يَسِيرًا بِحَيْثُ تَمْتَازُ عَنْهُنَّ وَهَذَا لَا يُنَافِي أَنَّهَا وَسْطَهُنَّ انْتَهَى
Artinya : “Dan pada Hasyiah Syubramillisi atas Minhaj telah menetapkan olih Syeikh Muhammad Ramli bahawasanya imam perempuan itu ke depan sedikit sekira-kira terbeza ia dari sekelian makmum. Dan ini tidaklah menafikan bahawsanya imam itu berada di tengah mereka itu.” (Kitab Hasyiah As-Syarwani Ala At-Tuhfah)
Jika imam perempuan tidak berdiri di tengah saf perempuan tetapi berdiri ia di hadapan seperti imam lelaki maka hukumnya adalah makruh dan solatnya adalah sah dan sah juga solat jemaah perempuan yang mengikutnya itu.
Berkata Imam Ibnu Al-Atsir :
وإذا صلت المرأة بالنساء وقفت وسطهن، ولا يعرف فيه خلاف عند من استحب لهن الجماعة، فإن تقدمت عليهن كره لها ذلك وصحت صلاتها وصلاتهن
Artinya : “Dan apabila perempuan solat dengan jemaah perempuan hendaklah dia berdiri di tengah mereka itu dan tidak diketahui ada khilaf pada masalah ini di sisi ulamak yang mengatakan sunat bagi kaum perempuan berjemaah. Maka jika imam perempuan itu berdiri di hadapn jemaah perempuan makruh yang demikian itu tetapi sah solatnya dan sah solat jemaah perempuan itu.” (Kitab As-Syafi Syarah Musnad As-Syafie)
IMAM PEREMPUAN MERENDAHKAN SUARA
Apabila seorang perempuan menjadi imam bagi kaum perempuan maka hendaklah imam itu merendahkan suaranya pada segala bacaan samada bacaan itu rukun atau sunat seperti surah dan zikir dan tasbih dan doa sekalipun pada solat yang disunatkan baca kuat bagi imam lelaki.
Berkata Imam Syafie r.a. :
وَتَخْفِضَ صَوْتَهَا بِالتَّكْبِيرِ وَالذِّكْرِ الَّذِي يُجْهَرُ بِهِ فِي الصَّلَاةِ مِنْ الْقُرْآنِ وَغَيْرِهِ
Artinya : “Dan hendaklah imam perempuan itu merendahkan suaranya ketika bertakbir dan berzikir yang disunatkan angkat suara pada solat itu daripada bacaan Quran dan lainnya.” (Kitab Al-Uum)
Dan sebahagian fuqahak berkata jika jemaah perempuan itu didirikan di tempat yang tiada kaum lelaki maka imam membaca kuat pada tempat yang kuat dan jika ada pada tempat itu lelaki maka imam membaca perlahan sekalipun pada tempat baca kuat.
Berkata Imam Nawawi :
أَمَّا الْمَرْأَةُ فَقَالَ أَكْثَرُ أَصْحَابِنَا إنْ كَانَتْ تُصَلِّي خَالِيَةً أَوْ بِحَضْرَةِ نِسَاءٍ أَوْ رِجَالٍ محارم جهرت بالقراءة سواء صلت بنسوة أو مُنْفَرِدَةً وَإِنْ صَلَّتْ بِحَضْرَةِ أَجْنَبِيٍّ أَسَرَّتْ
Artinya : “Adapun perempuan maka telah berkata kebanyakkan Ashab kami jika perempuan itu solat di tempat yang sunyi atau dengan kehadiran kaum perempuan sahaja atau ada lelaki yang mahram maka dia membaca kuat samada dia solat menjadi imam dengan kaum perempuan atau dia solat sendirian. Dan jika perempuan itu solat di tempat yang hadir di situ lelaki ajnabi maka dia hendaklah perlahankan suaranya.” (Kitab Al-Majmu’)
wallahua’lam

Comments